AirAsia pindahkan perniagaan digital ke RBV

KUALA LUMPUR 17 Dis. – AirAsia Group Bhd. (AirAsia) mengumumkan pemindahan perniagaan digitalnya kepada anak syarikat milik penuhnya, Redbeat Ventures Sdn. Bhd. (RBV).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perkhidmatan Korporat, Digital dan Transformasi) AirAsia, Aireen Omar berkata, RBV telah menandatangani Perjanjian Jual Saham dengan AirAsia Bhd. dan AirAsia Investment Ltd. masing-masing pada 25 Jun 2018 untuk memperoleh sembilan perniagaan digital bukan syarikat penerbangan dan anak-anak syarikat mereka.
Entiti-entiti utama yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan berkaitan digital termasuk AirAsia BIG Loyalty, BigPay, travel360, ROKKI, Ourshop, RedCargo Logistics, RedBox Logistics, Touristly Travel (Vidi) dan RedTix.
“Dengan meletakkan aset digital kami di bawah RBV, kami berharap dapat mengembangkan dan mengoptimumkan perniagaan digital kami dengan lebih berkesan dan meluaskan jejak digital AirAsia.
“Sebagai cabang usaha korporat AAGB, RBV melihat kerja sama dengan teknologi permulaan dan mencari peluang pelaburan dalam ruang berteknologi tinggi dan digital agar tetap kompetitif dan relevan dalam persekitaran komersial dan teknologi yang pesat berubah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE