Pikom sambut baik cukai digital

KUALA LUMPUR 15 April – Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) menyokong pendirian kerajaan untuk mengenakan cukai digital sebanyak enam peratus terhadap penyedia perkhidmatan asing bermula 1 Januari tahun depan.
Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah berkata, cukai berkenaan akan dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian yang diimport termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.
Menurut beliau, cukai digital mewujudkan kesamarataan untuk pemain industri tempatan.
“Di bawah rejim cukai semasa, jualan perniagaan kepada perniagaan (B2B) telah dikenakan cukai.
“Bagaimanapun, jualan perniagaan asing kepada pengguna tempatan terutamanya untuk barangan dan perkhidmatan digital tidak dikenakan cukai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Negara-negara lain seperti Singapura, New Zealand, Australia, Taiwan, Norway, Afrika Selatan dan Jepun telah memiliki cukai seperti itu atau peraturan mengenai transaksi berkaitan digital yang diimport.
New Zealand, Rusia dan Norway ketika ini mengenakan cukai lebih tinggi, masing-masing pada 15 peratus, 18 peratus dan 25 peratus.
Katanya, cukai digital Malaysia sebanyak enam peratus boleh dianggap rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. – UTUSAN ONLINE