article

MATTA gabung peserta industri pelancongan menerusi platform digital

MATTA gabung peserta industri pelancongan menerusi platform digital

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjangkakan antara 300 hingga 500 pemilik hotel akan menyertai mattab2b.com.my, platform digital pertama yang dibangunkan khusus bagi tujuan pengedaran dan tempahan untuk peserta industri pelancongan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata selain sebagai tempat untuk memasarkan perkhidmatan dan produk secara dalam talian, platform perniagaan-kepada-perniagaan (b2b) itu juga berfungsi sebagai penyelaras inventori dan turut menyokong pelbagai subsektor terkait pelancongan demi kepentingan industri pelancongan tempatan.

Beliau berkata, sebab utama lain platform itu diperkenalkan ialah ia bertujuan memberi sokongan kepada ejen pelancongan tradisional dan pemilik hotel daripada cengkaman ejen pelancongan dalam talian (OTA), kebanyakannya berpangkalan di luar negara, yang mengenakan caj yang keterlaluan antara 12 peratus hingga 25 peratus, sekali gus menekan pengusaha hotel tempatan.

“Platform interaktif ini akan memberikan tulang belakang teknologi yang lebih baik untuk menyokong produk dan perkhidmatan pelancongan Malaysia, yang menawarkan sokongan digital bersepadu lebih meluas kepada peserta industri, sekali gus membantu meningkatkan potensi jualan dan pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan platform itu di sini hari ini.

Kok Liang berkata, selain pemilik hotel, pihaknya menjangka beberapa peserta lain akan menyertai platform itu tahun ini termasuk rakan pengembara dan pengendali taman tema dengan sasaran akhir semua peserta industri daripada syarikat penerbangan hinggalah kepada pengendali acara akan dikait hubung dalam platform itu.

OTA adalah syarikat dalam talian yang laman webnya membolehkan pengguna menempah pelbagai perkhidmatan berkaitan perjalanan langsung melalui Internet. Ia berasaskan perniagaan-kepada-pelanggan (b2c).

“Sokongan daripada peserta industri penting bagi MATTA memandangkan kami mahu mengembangkan pengaruh dan capaian kami merentasi saluran industri dan pihak berkepentingan yang mempengaruhi pelancong untuk datang melawat Malaysia,” katanya.

Share

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *