Panasonic Malaysia perkukuh segmen B2B

KUALA LUMPUR 22 Mac – Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. mahu mengukuhkan segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan menyasarkan sumbangan sebanyak 20 peratus kepada jualan syarikat pada 2020.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Cheng Chee Chung berkata, segmen B2B ketika ini hanya menyumbang 10 peratus daripada jualan keseluruhan sebanyak RM1.6 bilion di Malaysia.
Katanya, unjuran itu akan didorong dengan pembukaan Pusat Penyelesaian Baharu HOME.2.COM terletak di Vertical Podium, Bangsar South.
Jelas beliau, jumlah pelaburan bagi penubuhan HOME.2.COM ialah kira-kira RM2 juta dan ia bakal bertindak sebagai platform bagi rujukan dan inspirasi untuk pelbagai segmen B2B, sekaligus memacu jualan produk.
“HOME.2.COM mempamerkan barisan produk dan penyelesaian menyeluruh dalam kategori kualiti udara dalaman (IAQ), tenaga dan pencahayaan diod pemancar cahaya (LED), sekuriti serta penyelesaian pintar.
“Pusat penyelesaian ini membolehkan penglibatan secara langsung dengan pelanggan segmen B2B,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian HOME.2.COM di sini hari ini.
Panasonic yang ditubuhkan sejak 41 tahun lalu sentiasa dikenali sebagai jenama elektronik pengguna. Kini selain daripada menumpukan kepada perniagaan ke pengguna (B2C), syarikat mahu meluaskan sumbangan segmen B2B.
Teknologi yang dipamerkan di HOME.2.COM melibatkan produk yang sesuai bagi kegunaan di kawasan perumahan serta komersial.
Chee Chung berkata, pihaknya menyasarkan pelanggan dalam kalangan pemaju hartanah, perunding, arkitek dan pereka bentuk, pemilik hotel, pihak berkuasa majlis perbandaran serta pengurus projek.
“Pelaburan lebih besar akan diperuntukkan dalam tenaga kerja, kerana B2B memerlukan strategi perniagaan berbeza dan kemahiran baharu seperti kepakaran teknikal, jurutera dan pengurus projek,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE